KOTA BHARU: Seorang daripada dua murid Orang Asli yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sudah dibenarkan keluar wad hari ini dan dibawa pulang ke kampung halamannya di Penad, Pos Tohoi, di Gua Musang.
Norieen Yaakob, 10, keluar hospital pada 5 petang tadi dengan ditemani ahli keluarganya.
Dia kelihatan ceria, semakin berisi dan sihat.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu Nik Man Nik Ya berkata, Norien ditemani empat ahli keluarganya.
"Sebuah kenderaan diaturkan oleh unit kebajikan JAKOA untuk menghantar kanak-kanak itu bersama ahli keluarganya," katanya di sini, hari ini.
Bagaimanapun, seorang lagi kanak-kanak Orang Asli, Mirsudiar Aluj, 11, masih lagi dirawat di HRPZ II kerana mengalami masalah jantung.
Dua kanak-kanak berkenaan ditemui dalam keadaan selamat di dalam perdu pokok berdekatan Sungai Perias, Pos Tohoi, Gua Musang pada 9 Oktober lalu selepas hilang selama 47 hari.
0 comments:
Post a Comment